Wasilah Pengorbanan Aidiladha


        Alhamdulillah segala puji dan pujian bagi Allah yang telah mengurniakan kita dengan nikmat yang paling agung iaitu menjadi orang yang beriman. Selawat dan salam buat junjungan tercinta yang telah memberikan keteladanan yang  terbaik dalam segala hal dalam kehidupan terutama keteladanan yang mulia untuk para pendakwah sepanjang zaman. Tidak lupa kepada generasi Al-Quran yang menyelusuri jalan amal Islami mengembangkan Islam sehingga kini. Dikesempatan ini saya ingin mengucapakan Selaamt Hari Raya Aidiladha kepada sahabat-sahabat sekalian....


        Allahu Akbar! Takbir raya membesarkan Illahi akan bergema sekali lagi bagi tahun ini dengan datangnya perayaan terbesar dan penuh signifikan bagi umat Islam iaitu Eidul Adha. Dikala jutaan umat Islam sedang mengerjakan rukun Islam yang kelima,  mengerjakan Haji apakah perkara yang boleh kita ambil dan hayati bersempena Eidul Adha? Eidul Adha juga dikenali sebagai Raya Haji dan Raya Korban kerana kedua-duanya saling berkait rapat dengan sejarah yang telah digazetkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran : 


"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh."  (QS. Al-Hajj, 22 : 27)


"Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)."  (QS. Al-Hajj, 22: 34)




Sirah keagungan pengorbanan

          Allah SWT mengurniakan perayaan ini bukan sekadar hari bergembira umat Islam malah jauh lagi tujuannya yang barangkali sukar untuk manusia biasa memikirkannya. Namun antara 'ibrah (pengajaran) yang boleh diambil ialah berkenaan seruan pengorbanan yang dituntut oleh Allah AWT. Pensyariatan Eidul Adha boleh dilihat dari sejarah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as. berkenaan pengorbanan tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua nabi tersebut. Ketika mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim melalui mimpi untuk menyembelih Nabi Ismail, Baginda telah membenarkan mimpi tersebut bahawa segala perintah Allah wajib dipercayai dan dilaksanakan. Begitu juga Nabi Ismail yang merelakan diri kerana iman yang cukup kukuh terhadap Allah dan kefahaman yang tinggi terhadap kewajipan melaksanakan tuntutan dan syariat Allah SWT. Setelah terbukti kesabaran,pengorbanan dan ketaatan kedua-dua nabi Allah tersebut, Allah melarang menyembelih Nabi Ismail dan menggantikan korban dengan seekor sembelihan. Kisah ini boleh dirujuk dalam Al-Quran surah As-Saffat (37) ayat 102-107.




Tuntutan pengorbanan

         Tatkala umat Islam masih lagi dalam cengkaman pelbagai kesusahan samada kesempitan harta, ketandusan ilmu, kelesuan iman dan pelbagai lagi menunjukkan kelemahan umat ini, maka kita yang Allah sudah campakkan hidayah untuk sentiasa merasa kemanisan beriman ini seharusnya mempunyai kesedaran untuk sentiasa membantu membangunkan umat. Dalam usaha untuk membina dan membangunkan umat ini lah yang dipanggil usaha JIHAD dan jihad menuntut kepada pengorbanan. Tanpa pengorbanan, tiada apa yang mampu dikecapi.

Menyingkap kembali sirah perjuangan Nabi Muhamamd SAW, penuh dengan pengajaran pengorbanan yang perlu kita contohi. Hasil daripada pengorbanan dan kefahaman yang diperoleh golongan terdahulu menjadikan kita hidup dalam keadaan yang serba mudah dan mengecapi nikmat Iman dan Islam ini. Bayangkan sekiranya golongan terdahulu tidak berusaha bersungguh-sungguh dan berkorban, masakan kita peroleh apa yang kita ada sekarang? Maka atas dasar kefahaman inilah yang perlu kita ambil dalam perayaan Eidul Adha ini.

          Sepertimana yang kita tahu, banyak lagi kisah pengorbanan yang dinukilkan dalam kitab agung dan hadis Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam sangat-sangat menuntut elemen pengorbanan dalam setiap perkara. Sebagai analoginya, setiap perniagaan yang berjaya pastinya ada risiko dan memerlukan walau sedikit modal yang boleh kita misalkan dengan kejayaan umat hari ini. Sekiranya mahu lihat umat Islam kembali gemilang, maka usaha yang berterusan perlu dilakukan dan usaha ini menuntut kepada pengorbanan yang tinggi. Pelbagai bentuk pengorbanan boleh kita lakukan antaranya pengorbanan masa, harta benda, jiwa dan perasaan. Yakin lah dengan janji Allah berkenaan perkara-perkara yang disentuh diatas. Firman Allah :


"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? ,(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahui" (QS. As-Saff, 61: 10-11)




Harapan dalam pengorbanan

          Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua untuk sentiasa perbaiki diri dan dalam yang sama perbaiki masyarakat di sekitar, sesungguhnya tanggungjawab memperbaiki umah berada dalam setiap jiwa yang mengucapkan kalimah toyibah "lailaha illallah (tiada Tuhan disembah melainkan Allah)". Ambillah 'ibrah daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ini dengan kita terjemahkan dalam kehidupan seharian. Sedekahlah harta yang Allah pinjamkan itu kepada yang memerlukan, luangkanlah sedikit masa untuk menuntut ilmu-ilmu akhirat dan dunia, berkorbanlah perasaan terhadap pelbagai kesukaan kita kerana ketika saat ini ramai lagi saudara kita yang tidak dapat menikmati pelbagai nikmat seperti yang kita peroleh dan akhir sekali percayalah hanya Islam penyelesaian segala masalah. Semoga sedikit coretan ini memberi cetusan untuk anda semua berasa "ownership" terhadap Islam dan nasib umat ini.


Sekian, Terima Kasih.

0 comments: