Mengenali Sang Pencipta , Terungkainya Kebahagiaan Yang Hakiki


Kebahagian hakiki hanya akan dimiliki oleh mereka yang mengenal Allah Taala serta mengerti hakikat kehidupan dengan kefahaman yang benar dan iman yang mendalam. Mereka bahagia kerana mereka berjaya mengelola kehidupan sementara dunia dengan baik dan bijak sehingga setiap detik kehidupan mereka berada dalam penghambaan diri kepadaNya. Apabila ibadah, makan, minum, tidur, rehat, belajar, kerja, bicara, diam, melihat, mendengar dan segala aktiviti harian yang dilakukan hanya kerana Allah Taala, maka ketika itu tercapailah tujuan penciptaannya sebagai manusia di muka bumi Allah ini. Firman Allah Taala :


“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (Az-Dzariyat:56)


Mereka yang memahami hakikat kehidupan yang sebenar akan dapat menyesuaikan diri ditengah-tengah gelora kehidupan. Mereka tidak akan mudah tertekan, gelisah, lemah semangat dan berkeluh kesah. Kehidupan mereka tentunya berbeza dengan orang-orang yang tidak memahami hakikat penciptaan dirinya yang seringkali mahu melarikan diri untuk melepaskan beban dunia dari bahu sendiri. Mereka hilang arah kerana mereka tidak menemukan tujuan hakiki dari penciptaan dirinya. Mereka tidak menemukan ketenangan dan ketenteraman kerana mereka tidak mengenal Allah SWT yang kepada-Nya mereka akan kembali.


Justeru, marilah kita berusaha mencari kebahagian yang sebenar dengan mengemudi kehidupan seperti mana yang dikehendaki oleh Allah SWT, dan seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Persoalannya apakah kunci untuk melayari kehidupan ini seperti yang Allah SWT hendaki dan Rasulullah SAW tunjuki? Apakah yang kita perlukan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata? Jawapannya terkandung dalam surah Al-Imran, ayat 79,


“Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani (pengabdi-pengabdi Allah), kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”(Ali Imran: 79)


Ayuh, saudaraku seiman. Marilah kita menjadi hamba Rabbani dengan sentiasa berada dalam suasana mengajar dan belajar al-Kitab (yakni ajaran Islam). Hisablah diri kita sejujur-jujurnya. Seandainya telah timbul kesedaran bahawa kita masih belum memulakan interaksi yang baik dengan manual kehidupan dunia (Al-Quran), sedarlah kita masih ada hari ini untuk memulakannya. Bertindaklah! Mudah-mudahan Allah pimpin dan bimbing kita untuk kenal jalan yang benar bagi menjalani hidup di dunia ini, jalan yang bersesuaian dengan keredhaan Allah SWT. Dengan pedoman Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, maka kita berusaha memilih sesuatu yang disukai oleh Allah SWT serta menjauhi sesuatu yang dibenci oleh Allah SWT.



Bagi yang telah memulakan interaksi yang baik dengan Al-Quran, maka marilah kita lakukan peningkatan, langkah demi langkah sehingga mencapai darjat yakin, di mana kita meyakini bahawa di dunia ini tiada undang-undang lain yang kebenaran dan kekemasannya serupa dengan undang-undang Allah SWT. Seterusnya memberikan kita kekuatan untuk mengikut peraturan Allah SWT dengan sungguh-sungguh.
Wahai saudara-saudara yang kukasihi kerana Allah, jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teman dan akhirnya kita hidup di bawah naungannya seperti yang dirasai oleh Syed Qutb : 


“Aku hidup di bawah naungan Al-Quran. Dengannya ku lihat alam wujud ini jauh lebih besar daripada kenyataan lahiriah yang terlihat ini. Alam ini lebih besar hakikatnya. Ia adalah alam ghaib dan alam nyata. Ia adalah dunia dan akhirat, bukan cuma dunia ini. Kematian bukanlah akhir dari sebuah perjalanan, tetapi kematian adalah satu tahapan perjalanan itu sendiri. Apa yang diperoleh manusia di muka bumi ini bukanlah sesuatu yang menyeluruh melainkan hanya sebahagian kecil sahaja dari keseluruhan yang banyak. Balasan yang terlepas di sini (dunia) tidak akan terlepas di sana (akhirat). Di sana tidak akan ada penganiyaan, tidak akan ada pengurangan. Perjalanan yang ditempuh di planet bumi ini hanya sebuah perjalanan di alam kehidupan yang biasa, sedangkan dunia yang jujur dan penyayang adalah yang punya ruh yang saling bertemu dan bertegur sapa dan menuju kepada Pencipta Yang Maha Esa, yang kepadaNya lah ruh orang mukmin berada dalam kekhusyukan”




Saudaraku, tidakkan hati kita juga berhajat untuk merasai kemanisan seperti ini? Sekiranya hati kita juga ingin menjamah kemanisan ini, didiklah hati kita supaya ia bersujud, tunduk dan patuh hanya kepada Allah SWT sepertimana tunduknya segala apa yang ada di langit dan di bumi.


“Hanya kepada Allah lah sujud (patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan kemahuan sendiri atau terpaksa, dan (sujud pula) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang hari” (Ar-Ra’d:15)

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan, tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya” (Al-Israa’: 44)


Dalam mencari kebahagian, kita juga wajib mengenal sifat-sifat Allah SWT kerana menurut Abu A’la Al-Maududi dalam bukunya Asas-asas Islam, “Jika kita tidak mengenal bahawa Allah itu Esa, tiada sekutu bagiNya pada ketuhananNya, bagaimanakah kita boleh menolak daripada menundukkan kepala dan menghulurkan tangan di hadapan yang bukan Allah? Demikian juga, jika kita tidak yakin bahawa Allah itu mendengar, mengetahui dan melihat segala-galanya, bagaimanakah kita boleh menahan diri daripada memaksiatiNya dan lari dan pada perintahNya? Jelaslah bahawa tidak mungkin manusia berhias dengan sifat-sifat yang wajib dihiasi dalam fikirannya, dalam amalannya dan dalam budi pekertinya, untuk melalui jalan Allah SWT yang lurus, selagi ia tidak mengenal sifat-sifat Allah Ta’ala. Dan tidak cukup ia menguasai ilmu semata-mata, tetapi sewajarnya ilmu itu tertanam di dalam lubuk hatinya, supaya hatinya menjadi terpelihara daripada sangkaan-sangkaan yang salah, dan hidupnya terpelihara daripada perbuatan yang menyalahi ilmunya sendiri.


Semoga bermanfaat. 


Waallahualam………..

0 comments: