Diulik Rasa Gelora + Redha Hadapi Kehilangan Sahabat

 

Adakalanya kita akan bersama. Begitulah sebaliknya. Hari yang tidak dijangka akan kehilangan seorang sahabat saya, saudara Abdul Khafiz Bin Mohd Norok itu bakal berkunjung tiba.Yang rasa akan manisnya pertemuan pasti tidak mahu menempuhnya.Tetapi kita bukanlah sesiapa. Yang mahu memutar alam ini mengikut kehendak peribadi. Dari yang sedih mahu sentiasa gembira. Dari yang sakit mahu sentiasa sihat. Hatta dari yang berpisah mahu sentiasa bersama.Kerana ia adalah kitaran alam yang setiap kejadiannya diiringi hikmah pembias cara. 


Buat pembaca budiman, hari ini jiwa saya diulik rasa gelora. Akan kehilangan satu ikatan persaudaraan yang telah terbina atas dasar ukhwah. Sungguh, ia sangat memeritkan kerana telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Luahan bicara kata untuk kita sama-sama  menginsafi setiap apa yang berlaku. Hampir sebahagian besar di antara kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka yang dikasihi adalah kepulangan yang hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi.

 
Kematian, iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

 
Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: 

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.”

 
Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.


Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Muttafaq ‘alaih).”


Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.
Yang lebih baik, dihadiahkan bacaan ayat Al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada si mati semoga Allah mengurniakan rahmat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abdullah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

 
Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156-157 yang bermaksud: “


Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Yang masih hidup, kematian sepatutnya menjadi iktibar untuk sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara, cuma tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa juga yang merencanakan kebahagiaan di akhirat sana. 

0 comments: