Disebalik Jiwa Meronta , Diselubungi Hati Keresahan






Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tetapi.. kenapa hati kita tidak gembira? Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita minta sungguh-sungguh pada Allah. Tapi.. kenapa susah sangat doa kita nak makbul oleh Allah? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"



Diselubungi Hati keresahan

Hati kita tidak gembira sebab kita tidak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tidak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tidak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.



Disebalik Jiwa Meronta

Kita senantiasa meminta pada Allah, tapi kita tidak pernah minta ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih.. minta Allah pandang kita. Bagaimana Allah ingin memakbulkan doa kita?
Cuba kita renung diri kita. Cuba kita menghitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada kita sebut dan mengucapkannya.



Pernah kita bangun malam, solat sunat... solat tahajud.. solat taubat? Pernah? Ada... waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kena ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas itu... ada? Ada... time dah nak exam... waktu rasa result macam ada aura nak gagal. Siap buat solat hajat lagi! Lepas itu…ada? Ada… time dapat result, ada tak buat sujud syukur? Hmm... entah la, tak ingat pulak.



Setiap hari kita melakukan perkara kebaikan. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tidak dapat merasai kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan itu? Hati kita tetap juga tidak tenang. Kenapa ya berlaku seperti itu? Sebab dalam hati kita tidak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan itu dekat kita.




Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah memuliakan kejadian manusia. Tetapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul saw. Berat benar lidah kita hendak berselawat ke atas baginda.



Bagaimana dan Apakah Resolusinya ?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkanlah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlaskanlah hati dalam setiap perkara yang kita buat.



Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati……



Wallahualamm…………….

2 comments:

  1. ustaz , mcm mne nk hadirkan IKHLAS dlm hati kite . terutamanya dlam solat . setiap kali sya solat msti sya terpikirkan sesuatu . sedangkan org kata klau nk khusyuk dlam solat , kite msti lupakan segalanya . Ingat Allah je .


    #nurainaqilah

    ReplyDelete
  2. Khusyuk itu maknanya menyedari (tidak sekadar tahu dan ingat) bahawa Allah swt itu dekat dengan kita dan menyedari bahawa Allah swt sentiasa melihat setiap apa yang kita lakukan. Kita sentiasa berada di dalam sedar hal yang dikatakan Ihsan ini.

    Bermakna khusyuk dahulu, sedar Allah itu dekat, sedar Allah sedang melihat diri kita dalam apa jua keadaan kita, di dalam setiap aktiviti yang kita lakukan, Sedar ketentuan kehidupan kita ini adalah kerana Allah swt dan barulah kita mampu mencapai sabar dan mendirikan solat dengan penuh ikhlas.

    ReplyDelete