' Menyinari & Mencapai Nilai Ukhwah'



Alhamdulillah pada 14 Mei 2013 yang bertempat di rumah kami sendiri , telah berjaya mengadakan satu perjumpaan atau liqo’ bersama mantan pengerusi dalam rangka duduk sebentar dan majlis bacaan tahlil arwah SeIrsyad untuk mengingatkan kembali tujuan kita atau matlamat kita disini . Sesungguhnya  manusia itu mudah lupa dan kita  senantiasa perlu  ingat mengingati antara satu sama lain supaya dapat mempertingkatkan sahsiah dan kerohanian diri kita . Dengan adanya program seperti ini , dapat lagi  memperingatkan balik sesama kita seterusnya menguatkan lagi tali ukhwah kita insya Allah.


Saya ingin membawa satu ungkapan iaitu “ Mencari nilai ukhuwah..” yang boleh diterjemah dan ditafsirkan sebagai suatu inisiatif yang amat berguna bagi saudara sesama islam untuk kita lebih mengeratkan tali silaturrahim yang seharusnya dirapati dan sentiasa berpegang untuk mencari nilai yang diredhai oleh Allah swt sehingga kita sama-sama menuju syurga Allah swt .



Disebalik tulisan dan catatan

Itulah sering bersarang di hati dan minda kita. Kadang-kadang ianya singgah juga di fikiran insan ini. Insan ini mengakuinya, kerana sepanjang menulis di laman blog ini ianya bukan sesuatu perkara yang mudah. Perlu sabar dan kuat semangat jika mahu menyiapkan sesuatu tulisan. Biarpun ianya tidak bernilai pada kaca mata orang lain, tetapi bagi insan ini ianya amat bernilai kerana berjaya mengatasi halangan yang sering wujud. 

Bagi insan ini, menulis memberi kepuasan dan nikmat yang tersendiri. Melapangkan hati dan menenangkan jiwa. Selain itu, ianya dapat mengasah minda dan menambah ilmu pengetahuan. Biarpun ia hanya sekadar tulisan biasa. Tetapi ianya cukup bermakna untuk diri ini. Berkongsi dengan sesiapa sahaja. Walaupun tidak semua memberi manfaat tetapi pasti ada biarpun cuma sedikit. Teringat kata-kata yang telah diungkapkan oleh Imam Syafie: “Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.”



Disebalik perubahan dan harapan

Perubahan adalah perkara lumrah dalam kehidupan. Seperti kita, teman-teman juga layak berubah. Kita berubah dengan cara kita masing-masing. Perubahan yang mungkin menjadi pendirian kita. Ketetapan hati dan fokus kita terhadap sesuatu perkara akan berubah mengikut keperluan dan keselesaan kita. Jadi, perubahan menjadi lumrah bagi setiap manusia.

Begitu juga dengan perubahan sikap yang kadang-kadang menyebabkan perubahan suasana dan perasaan kita dalam berukhuwah. Perubahan mungkin disebabkan oleh hilangnya rasa kemanisan dalam berukhuwah. Berasa tawarnya ukhuwah yang terjalin kini biarpun suatu ketika pernah menampakkan kemesraannya dan merasai kemanisannya. Mengharap kemesraan yang dulu menjelma kembali. Begitulah kita bila merasai kehilangan. Renungkanlah kembali diri kita, adakah kita menghargai kemesraan dan kemanisan yang pernah hadir suatu ketika dahulu? Atau adakah kita hanya bersikap habis madu sepah dibuang? 

Jangan hanya menilai orang lain sedangkan kita tidak pula menilai diri kita. Jika kemesraan itu hilang dalam ukhuwah itu, tanyalah diri kita, perlukah kita sendiri membawa kemesraan yang ada dalam diri kita ke dalam ukhuwah itu? Jika ya, teruskanlah membawanya. Jika tidak, berusahalah membawanya. Atau kita sekadar hanya ingin merasai daripada yang lain tanpa memberinya? Jika ya, silap kita. Jika tidak, mulakanlah memberi. Insya-Allah, akan kita merasai kemesraan dan kemanisan itu nanti.



Mampukah kita ???

Adakah kita hanya memerhati keadaan yang berlaku kini? Adakah kita akan ‘melarikan diri’ dari ukhuwah ini? Membiarkan kesuraman terus merajai ukhuwah ini disebabkan sikap tidak pedulisme kita. Menyemai benih-benih racun dalam taman ukhuwah kita. Racun yang sedikit demi sedikit akan terus men‘gersang’kan taman ukhuwah ini. Akhirnya tandus dan sepi meninggalkan semua kenangan sepanjang ikatan ukhuwah ini.

Mampukah kita mengubahnya kembali? Kembali membina kemesraan itu. Biarpun tidak serancak suatu ketika dahulu. Namun pastikan taman ukhuwah ini terus subur. Ketika bersama, subur dengan kemesraan dan kasih sayang, ketika berjauhan, subur dengan ingatan dan perhubungan. Agar tanah ukhuwah yang tandus dan gersang kini, akan gembur dan subur lagi dengan keindahan bunga cinta dan kemanisan kasih mesra dalam menghasilkan benih penghargaan dalam ikatan ukhuwah kita.

Agar taman ukhuwah terus subur, marilah terus berukhuwah biarpun telah terpisah!!

0 comments: