Travelog Umrah Nota Diariku



Assalamualaikum wbt ........


Pertama-tamanya marilah kita mengucapkan salam serta berselawat keatas junjungan Nabi kita Nabi Muhamad saw yang mana beliau adalah sebaik-baik insan yang dianugerahkan oleh Allah kepada umatnya. Perbanyakkanlah penglafasan rasa syukur. Alhamdulillah kerana kita semua telah dilahirkan sebagai seorang Islam dan dapat merasai nikmat Iman dan Islam kerana tanpanya maka siapalah diri kita ini dan teramat rugilah kita lahir didunia mahupun diakhirat.


Umrah adalah ibadah khusus yang menjadi keutamaan para jemaah yang berkunjung ke Tanah Haram Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawarah terutama di luar musim haji. Terdapat 2 pandangan berbeza dari segi hukumnya samada wajib atau sunat, iaitu bagi yang berkemampuan. 


Saya bukanlah anak seorang Jutawan mahupun anak seorang Hartawan yang Kaya Raya. Jika nak dibandingkan dengan keluarga lain yang mempunyai kelebihan dari segi kewangan dan masa yang membolehkan golongan seperti ini membawa anak-anak mereka melancong dan pergi kemana sahaja yang mereka suka termasuklah menziarahi bumi suci Makkah dan Madinah.


Kadang-kadang ada juga perasaan cemburu dihati saya apabila melihat kenalan-kenalan (waktu sekolah dan universiti)  yang telah kesana sini melancong ke luar negara di waktu usia muda belia lagi. Alhamdulillah… Alhamdulillah… Alhamdulillah… Hanya inilah ungkapan keramat yang mampu saya lafazkan apabila dijemput sebagai Tetamu Allah ke bumi sucinya pada 12 March hingga 22 March 2014 . Niat yang telah saya cetuskan sejak tahun 2011 untuk ke bumi suci Makkah dan Madinah, Alhamdulillah Allah swt telah izinkan saya untuk menjejaki  sampai pada tahun 2014.




Saya coretkan sedikit dan catatkan pengalaman berharga ini untuk tatapan semua :


12 March 2014 : Rombongan saya dan sahabat2 berkumpul di Hayyu Ashir selepas Solat Zohor. Kami berlepas jam 3 pm (waktu Mesir) menuju ke Airport Alexandria Egypt dan menaiki pesawat Nile Air. Seterusnya kami bertolak dr Alexandria Egypt jam 9 pm .


13 March 2014 : Tiba di Airport Yanboo kira-kira jam 11 pm . Dan perjalanan seterusnya ke Madinah lebih kurang jam 2 am. Kami tiba di Hotel penginapan  Madinah Al Munawarah lebih kurang jam 6 pagi (waktu Madinah). Aktiviti seharian hari pertama ini adalah berehat dan solat jemaah 5 waktu di Masjid Nabawi. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi sungguh hiba dan susah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Saya amat bersyukur  kerana  dapat mengerjakan solat di masjid nabi ini yang mana pahalanya digandakan 10,000 kali ganda, masyaAllah…




Setiap kali merebahkan dahi ke tempat sujud, terdetik hati saya berdoa “Ya Allah, Engkau izinkanlah aku sujud ini di bekas-bekas tempat sujudnya Para Nabi dan Para Sahabat Radhiallahu Anhum. Izinkanlah aku duduk ini di bekas-bekas tempat duduk mereka yang memperjuangkan AgamaMu Ya Allah .. Ya Rahman … Ya Rahim”.


Memang susah ingin saya ungkapkan dengan kata-kata apabila kita dapat merasai sendiri nikmat Allah dalam beribadah di tempat suci ini. Alhamdulillah, tempat penginapan saya lebih kurang 500 meter dihadapan pintu masuk Masjid Nabawi (menerusi bahagian depan pintu bab salam ).




Sepanjang 4 hari di bumi suci Madinah, sahabat saya Luqmal Hakim yang merupakan pelajar di Uni Madinah Al-Munawarah menjadi mutawif saya dan sahabat2 sepanjang kami semua berada disitu . Disitu saya melawat tempat-tempat bersejarah seperti Bukit Uhud dan perkuburan Baqi’, dataran tempat perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah Pertama untuk menggantikan tempat Rasulullah S.A.W sebelum baginda wafat, Kilang Percetakan Al-Qur’an dan Ladang Kurma.




Makam Rasulullah SAW ditempatkan di dalam sebuah kawasan yang mempunyai kubah berwarna hijau di dalam kawasan Raudhah dan  di sisi makam Nabi SAW terdapat makam dua sahabat karib baginda iaitu Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a dan Khalifah Umar al-Khattab r.a . Mereka adalah antara sahabat karib Rasulullah SAW dan juga khalifah umat Islam selepas kewafatan baginda. Mereka berdua adalah orang yang sentiasa menemani Rasulullah SAW ketika senang dan susah dan sentiasa mempercayai setiap kata-kata Nabi SAW di dalam apa juga keadaan .




Sebahagian dari sekitar kawasan Masjid Nabawi yang sangat cantik dan menarik corak bumbungnya .






Disini adalah tempat perkuburan Baqi yang menempatkan perkuburan syuhada , kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda Rasulluah saw . Sempat bergambar dengan sahabat kami semasa belajar di Darul Quran Jakim dahulu di kawasan perkuburan ini .




Semasa di Madinah kami telah dibawa menziarahi ke Masjid Quba yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Masjid Nabawi. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh orang Islam dan merupakan masjid yang keempat paling suci selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Telah diriwayatkan bahawa Baginda Rasullulah SAW pernah bersabda iaitu sesiapa yang mendirikan solat di Masjid Quba akan diberikan ganjaran pahala sama seperti menunaikan umrah. 




Selesai urusan di Masjid Quba, kami dibawa pula menziarahi ke bukit Uhud. Dikatakan bahawa bukit Uhud juga merupakan satu daripada bukit dari syurga, yang mana selepas hari kiamat nanti, bukit ini akan diangkat kedalam syurga kembali . 




Selepas itu kami berkunjung pula ke kebun kurma untuk melihat, merasai atau membeli kurma. Berbagai-bagai jenis kurma dijual di sini dan kesemuanya dihasilkan dari kebun itu sendiri. Saya tidak membeli kurma di sini kerana harganya agak mahal berbanding dengan harga di pasar kurma. Selain daripada aktiviti ziarah, kami menggunakan masa yang ada untuk beribadat di Masjid Nabawi. Di dalam perjalanan pulang ke hotel biasanya kami akan singgah untuk membeli belah di kedai-kedai yang banyak terdapat di sekitar Masjid Nabawi (sudah semestinyalah kan, kalau tak shopping tak sah…hehe). Pada pandangan saya, jubah-jubah di Madinah lebih cantik dari yang dijual di Mekah. 





Pada hari keempat kami bertolak dari Madinah menuju ke Mekah dengan menaiki bas. Sahabat2 saya yang telah siap mengenakan pakaian ihram sejak dari hotel lagi dan saya mengenakan pakaian ihram semasa berada di Masjid Bir Ali . Perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam. Bas yang kami naiki berhenti di Masjid Bir Ali untuk membolehkan para jemaah menunaikan solat sunat ihram 2 rakaat dan bermiqat (menjatuhkan niat ihram). Selepas bermiqat kami perlu menjaga larangan sehingga selesai bertahallul untuk mengelakkan daripada dikenakan dam. 




Waktu kami turun dari hotel jam telah menunjukkan jam 11.30 pm . Sebaik menghampiri Kaabah di kawasan hajarul aswad, kami melaksanakan rukun pertama iaitu berniat untuk tawaf sebelum memulakan tawaf. Rukun kedua ialah tawaf sebanyak tujuh kali mengelilingi Kaabah. Keadaan agak sesak semasa itu kerana jemaah lain yang baru sampai ke Mekah juga turut sama seperti kami melakukan tawaf. Selepas selesai tawaf, kami mencari ruang kosong dihadapan makam Ibrahim untuk menunaikan solat sunat. 




Kemudian kami melaksanakan rukun umrah ketiga iaitu bersaie. Bersaie ialah berjalan kaki berulang-alik dari Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Setelah berakhir pusingan ketujuh di Marwah, kami melaksanakan rukun keempat iaitu bertahallul dengan menggunting sekurang-sekurangnya tiga helai rambut. Dengan tertib yang telah kami lakukan, maka lengkaplah umrah kami pada malam itu, semoga diterima oleh Allah SWT, Insya Allah. Sewaktu kami siap bertahallul, azan Subuh pun berkumandang, jadi kami terus solat subuh sebelum pulang ke hotel. 



Jabal Tsur


Semasa berada di Mekah, kami telah dibawa menziarahi ke Jabal Nur, Jabal Tsur, Jabal Rahmah, Muzdhalifah dan Padang Arafah. Bas yang kami naiki juga melalui kawasan perkhemahan di Mina, Jamarat (tempat melontar).




Jabal Rahmah yang juga dikenali dengan nama bukit kasih sayang kerana di sinilah Nabi Adam a.s bertemu semula dengan isterinya Hawa setelah sekian lama terpisah.



Perkhemahan di Mina semasa Musim Haji sahaja digunakan .


Banyak tempat-tempat lain yang saya dan sahabat-sahabat lawati . Hanya sebahagian sahaja pena letak gambar ziarah di Madinah Al-Munawarah dan Makkah Al-Mukaramah . Pada hari-hari lainnya, kami menghabiskan masa dengan beribadat di Masjidil Haram, membeli-belah serba sedikit dan sebagainya . Hari terakhir di Makkah Al-Mukaramah , kami melaksanakan tawaf wida (tawaf selamat tinggal) pada pukul 9.30 pm. Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar. Selepas tawaf wida kami hanya duduk berehat di hotel sementara menunggu pukul 3.00 am untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke lapangan terbang Jeddah . 
\



Sebak dihati sudah mula dirasai . Kenangan & Pengalaman yang sangat bermakna semasa melawati tempat-tempat sejarah islam dan mengerjakan umrah di Madinah Al-Munawarah n Makkah Al-Mukarramah kian merebak ditusuk kalbu bagaikan hujan rintik dengan lebatnya kerana diwaktu ini , disaat ini , di hari ini terkesannya dalam diri ini yang akan meninggalkan tempat rumah suci Allah swt ini. Alhamdulillah , perjalanan ini merupakan tiket jemputan drpd Allah swt. Semoga Allah swt menerima amalan disetiap perlakuan n perbuatan semasa mengerjakan umrah. Seterusnya mendapat umrah yg mabrur dan dapat pergi lagi ke rumah suci Allah swt ini. Ameen ......  . Bermulalah perjalanan saya dalam meneruskan di medan perjuangan ilmu pula . 

0 comments: