Kembara Alam di Istanbul Turkey



Assalamualaikum...



Rasanya sudah lama jari jemari ini meninggalkan . Terasa kekok untuk melakarkan bicara kata-kata didalam post entry kali ini . Apapun entry kali ini ingin saya lakarkan ialah tentang kota bernama Istanbul. Sebuah kota lama yang dari dulu dikuasai oleh kuasa-kuasa besar dunia dengan seribu satu macam kisahnya. Pengembaraan kali ni sememangnya sudah merancang untuk pergi mengembara di luar dari tempat belajar . Bila bersembang tentang percutian musim sejuk yang bakal akan tiba bersama sahabat2 , maka destinasi yang akan saya dan sahabat2 pergi untuk mengembara sejauh mana yang mampu kami pergi, tempatnya adalah di bumi Istanbul Turkey. Terima kasih tak terhingga kepada rakan2 serumah yang berperanan menghidupkan kembali angan-angan untuk pergi melancong di luar negara Eropah. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya.




Istanbul merupakan kota terbesar dalam negara Turki. Terbahagi kepada 2 bahagian iaitu bahagian Eropah dan bahagian Asia, kota besra ini telah menyaksikan peralihan 3 kuasa hebat dunia menguasainya silih berganti, bermula dari Empayar Rom, Empayar Rom Timur dan akhirnya Empayar Uthmaniyyah sehinggalah kejatuhan empayar tersebut. Kota ini diasaskan oleh Konstantinopal I sebagai ibu kota empayar Byzantine dan dinamakan sebagai Konstantinopal. Konstantinopal berada pada kedudukan strategik menyambungkan antara Timur dan Barat, sekaligus menjadikannya sebuah kota yang paling direbuti sepanjang sejarahnya. Malahan Konstantinopal turut menarik perhatian Admiral terkenal Peranchis, Napoleon Bonaparte yang mengandaikan jika dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopal adalah yang paling layak menjadi ibu negaranya.




Pada tahun 1453, akhirnya Konstantinopal jatuh ke tangan empayar Islam, iaitu Empayar Uthmaniyyah di bawah pimpinan Sultan Muhammad al Fateh. Kejatuhan Konstantinopal ke tangan Sultan Muhammad al Fateh sememangnya telah dinanti-nantikan sejak peperangan Khandak lagi. Konstantinopal di bawah pemerintahan Sultan Muhammad al Fateh telah diberikan nama baru iaitu, Istanbul hinggalah ke hari ini. Saya telah memilih Istanbul sebagai destinasi mukaddimah memandangkan sememangnya Istanbul adalah pintu masuk termurah ke Eropah (bagi aku la). Dari Istanbul, jalan-jalan terbuka luas ke kota-kota lain Eropah, terutamanya Eropah Timur. Bagi saya dan sahabat2, 3 perkara penting diambilkira. Murah dan masa perjalanan minimum. Sebolehnya, cuba sedaya upaya mencari flight ke Istanbul. Dengan izinNya juga, dapatlah kami 6 tiket tambang murah  flight Pegasus penerbangan terus ke Istanbul Sabiha Gokcen dengan masa perjalanan minimum 8 jam.





Saya akan bercerita tentang kos mengembara ke Istanbul, saya hanya boleh kongsikan sedikit pengalaman saya di sana secara kasar dan tidak terlalu terperinci melalui gambaran yang saya hadapi disana. Untuk permulaan sebagai rakyat Malaysia kita amat bertuah kerana kita tidak perlukan Visa untuk melancong ke Turki untuk tempoh sehingga sembilan puluh hari.




Saya dan sahabat2 mengembara secara “backpackers” dan tinggal di Hotel yang hanya menyediakan keperluan minima. Untuk trip ke Istanbul baru-baru ini, kami berenam tinggal di Viva Hotel Istanbul . Untuk hotel yang baik, bagi yang membawa keluarga, kosnya agak tinggi, kebanyakannya bermula dari Euro 20 (Hampir RM80) untuk satu malam, mungkin kita boleh dapat harga yang lebih rendah lagi tapi kena rajin cari atau booking melaui internet, sebulan dua sebelum ke Istanbul. Hotel di Istanbul memang banyak, tetapi bagi yang berkeluarga dan ingin travel sendiri tanpa menggunakan khidmat travel agency, ada baiknya anda uruskan tempat penginapan dengan menempah melalui internet, sebaik sampai di Istanbul boleh terus ke Hotel tanpa perlu buang masa mencari hotel dan kebanyakan hotel ada menyediakan khidmat “Pick Up” dari airport dengan mengenakan sedikit bayaran.




Tentang makanan pula, ianya bergantung pada kita, sama ada kita ingin makan sebagaimana kita makan di Malaysia, makan sampai kenyang ataupun hanya sekadar untuk mengalas perut. Turkey ialah sebuah negara Islam dan memang tidak susah nak cari restoran makanan halal yang kebanyakannya berasaskan kebab. Saya membelanjakan hampir 15 Lira atau hampir RM20 sehari untuk makan di Istanbul, ini kira makan sampai kenyang, maksudnya makanan kami agak berat, kalau nak makan berat sebelah pagi dan makan sebelah malam telah disediakan oleh pemandu backpacker kami , rasanya mungkin tak sampai RM20 sehari. Kalau nak jimat lagi kita boleh beli makanan ringan seperti roti di mana-mana pasaraya yang kita jumpa buat alas perut di waktu malam atau semasa berkunjung ke tempat-tempat menarik.





Adakah cukup masa untuk kita berada disana dalam lima hari atau seminggu di Istanbul? Ini pun bergantung pada cara kita dan minat kita, kalau kita minat photography, sebulan di Istanbul pun tidak cukup tapi untuk “casual traveler”, seminggu dah lebih dari cukup. Untuk pengetahuan lokasi tempat-tempat menarik di sekitar Istanbul adalah tidak jauh antara satu sama lain, boleh berjalan kaki sahaja. Sebagai contoh lokasi Masjid Biru atau Blue Mosque dan Aya Sofya adalah berdekatan, habis melawat Blue Mosque, boleh melawat Aya Sofya dan seterusnya boleh melawat Muzium Topkapi yang terletak di belakang Aya Sofya sekiranya kita datang dari arah Masjid Biru.




Cuma untuk melawat Muzium Topkapi saya cadangkan untuk habiskan separuh hari di sana kerana kawasannya agak luas dan kepada peminat sejarah, pastinya akan menghabiskan satu hari di dalam Muzium Topkapi. Masuk Muzium Topkapi dan Aya Sofya dikenakan bayaran sebanyak Turkish Lira 30 atau lebih kurang RM50 seorang. Selain daripada tempat tersebut, kita boleh juga melawat Masjid Fatih dan juga Masjid Eyup di mana terletaknya Makam  Sahabat Nabi Muhammad S.A.W iaitu Abu Ayub Al-Ansari yang terletak agak jauh dari tengah Bandaraya Istanbul . Galata Bridge itu sendiri adalah salah sebuah tempat yang mesti di kunjungi oleh sesiapa sahaja yang melawat Istanbul, ramai pemancing di atas Jambatan Galata dan cukup meriah tatkala senja menjelang.




Kepada yang minat membeli belah, sudah tentunya Grand Bazaar dan Spice Bazaar di Eminonu, menjadi tumpuan, kalau tidak berhajat nak beli apa-apa pun, kita boleh habiskan hampir separuh hari ataupun sehari berjalan-jalan di Grand Bazaar, semasa kami pergi , saya hanya luangkan sedikit masa di Grand Bazaar kerana tidak bercadang nak beli banyak barang, cukuplah, sehelai dua T-Shirt dan Keychain untuk kenangan dan juga ambil beberapa gambar di dalamnya untuk kenangan. Lagi satu jangan lupa untuk berkunjung ke Masjid Sulaiman, di mana kita boleh melihat sebahagian besar Istanbul dari atas menara tersebut, sebaiknya singgah di Masjid Sulaiman, dua tiga jam sebelum matahari tenggelam. Pemandangan dari atas masjid tesebut terlalu indah untuk diceritakan di sini.




Tentang pengangkutan, sepanjang kami berada di sana, saya hanya menggunakan Tram dan pengangkuan yang disediakan oleh hotel sahaja, Tram banyak di sana dan kita tidak perlu tunggu lama untuk dapatkan Tram, sentiasa ada, dan apa yang menariknya, semasa kami di sana, bayaran untuk Tram telah ditetapkan, sama ada kita ingin berhenti di stesen hadapan kita ataupun stesen yang terakhir, bayarannya adalah sama sahaja, bukan macam LRT di Kuala Lumpur, lain destinasi, lain bayarannya. Semasa saya di sana bayaran untuk Tram ialah 4 Lira atau RM8 lebih untuk ke mana-mana destinasi satu arah. Maksudnya bayar sahaja di mesin token tu sebanyak 4 Lira dan kita boleh turun di mana-mana stesen yang kita suka, last station pun hanya 4 Lira. Kalau rasa tempat yang kita nak pergi tu agak dekat dan tak berbaloi nak bayar 4 Lira, kita boleh jalan kaki dan bagi saya untuk “Explore” Istanbul, berjalan kaki adalah lebih baik, jalan perlahan-lahan, kalau penat berhenti, kedai makan banyak dan nak solat pun tidak susah kerana Istanbul ni penuh dengan masjid. Seminggu di Istanbul rasanya dah mencukupi untuk “casual traveler”.



Itulah serba ringkas apa yang boleh saya kongsikan bagi yang melancong sendiri baik berseorangan, bersama kawan atau keluarga tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan, ada baiknya belilah buku panduan melancong ke Istanbul ataupun buat sedikit research di internet .



*Istanbul Aku Akan Datang Lagi, InsyaAllah…
*Untuk lihat lebih banyak gambar pengembaraan saya, bolehlah lihat disini : Gallery Fb Nota Diariku

0 comments: