Terusiknya Hati ♥ Istikharah di Hati





Bertemu lagi sahabat-sahabat sekalian di Laman Tinta Iffat Altamis. Mana tidaknya, sudah lama jari jemari ini tidak menaip bait-bait pena yang mahu lontarkan apa jua isu, artikel, perkongsian diri dan sebagainya supaya ilmu itu dapat disebarkan dan dimanfaatkan oleh semua. Alhamdulillah , saya diberikan nikmat iman dan islam diatas muka bumi Allah ini dalam menyebarkan setiap butir-butir mutiara ilmu yang boleh dirungkai dan disematkan dalam hati sahabat-sahabat sekalian. Post entry kali ini berkaitan dengan “ Terusiknya Hati ♥ Istikharah di Hati  “


Sebenarnya, istikharah ini bukanlah tertentu dalam bab memilih jodoh semata-mata. Di dalam hadith Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari , ia disebut secara umum ; iaitu mana-mana orang yang diberatkan akan beberapa pilihan , maka hendaklah dia solat dua rakaat iaitu solat sunat Istikharah, dan kemudian membaca doa ini :





Istikharah Perlu Difahami

Maksud Istikharah ialah kita meminta bantuan Allah dalam membuat pilihan dalam pelbagai perkara dan urusan. Menurut hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini  adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.


Istikharah Dilakukan

Jawabnya, kerana sebagai manusia, kita tidak lepas daripada berdoa. Meminta kepada Allah yang Maha Tahu adalah jalan terbaik bagi kita selaku manusia yang tidak tahu. Pengetahuan kita sangat terbatas, sedangkan pengetahuan Allah Maha Luas. Dia Tahu tentang apa yang sebelum kita, serta apa yang bakal berlaku selepas kita. Termasuklah dalam hal ehwal jodoh serta pasangan kita nanti. Justeru, kita yang tidak tahu ini perlulah meminta pertolongan Allah untuk menunjukkan kepada kita mana yang terbaik, supaya dengan keputusan yang kita buat itu kita tidak akan menyesal di kemudian hari.



Terletaknya Pada HATI

Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ? Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.



Istikharah berkaitan Wajib atau Haram

Perkara yang boleh kita Istikharah hanyalah dalam perkara yang harus di sisi Syarak sahaja. Tidak ada istilah Istikharah untuk hal yang telah jelas akan wajib atau haramnya. Umpamanya, nak bayar zakat atau tidak, tidak perlu Istikharah kerana telah jelas wajibnya. Begitu juga dengan bercouple, tidak payah Istikharah kerana telah jelas haramnya. Tetapi dalam hal yang harus, umpamanya untuk memilih antara dua pekerjaan yang sama-sama halal, maka Istikharahlah memohon petunjuk dari Allah.



Ketenangan Membuat Keputusan

Berdasarkan hadis di atas, kita memohon Allah memberikan kita yang terbaik semasa kita membuat pilihan terhadap sesuatu perkara. Kerana Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam setiap sesuatu kejadian. Yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tatkala kita masih ragu-ragu dengan pilihan yang ingin dibuat, laksanakanlah lagi solat tersebut. Tidak ada masalah untuk melakukannya berulang kali, sehingga kita beroleh ketenangan ketika membuat keputusan. Menurut al-Imam al-Nawawi, seseorang yang melakukan istikharah, maka dadanya akan terbuka luas untuk sesuatu urusan, malah dia akan terlihat kebaikan pada perkara yang akan dilakukan atau sebaliknya




Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti apa yang diharapkan?


Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya pada qadha dan qadar. Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak percaya pada rukun iman keenam. 


Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari jodoh yang baik.


Secara amnya, kita timbang tara setiap keputusan yang dibuat, dan untuk memudahkan kita menyakini keputusan yang ingin dilaksanakan, seelok-eloknya mintalah pandangan kepada mereka yang kita percaya dan mampu memberi pendapat dengan baik terhadap perkara tersebut. InsyaAllah, keputusan mana yang kita rasa terbaik, itulah yang kita ambil. Bukannya menanti petanda dan berkata “Allah telah menunjukkan bahawa itu yang perlu dilakukan”. Dikhuatiri syaitan yang memberi petanda yang kita harapkan, kerana pilihan yang kita inginkan selalunya yang menyalahi tuntutan iman kita.



Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan, percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa mendatang.


Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian yang ada tetapi jadikan lah ujian itu  sebagai satu kekuatan pada kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya diredhai oleh  Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu mengundang murka Allah.


Wallahualam……………

2 comments:

  1. "Jangan mudah lesu dengan istiqamah"

    ReplyDelete
  2. Syukran .. :) Pemacu Perubahan Menjadi Hamba Allah Yg Terbaik

    ReplyDelete