Solusi-Nya Si Kumbang Di Madukan




 Assalamualaikum w.b.t

Bertemu lagi kita di post entry kali ini yang berkaitan dengan Isu Poligami yang telah dihasilkan oleh nukilan dan pandangan beliau sendiri. Saya telah meletakkan penulisan ini supaya sama-sama kita beroleh manfaat apa yang dihasilkan dan serba sedikit beroleh ilmu apa yang diutarakan tentang perkara ini. Mudah-mudahan ilmu yang sedikit ini dapat beroleh 1001 manfaat dalam memperkembangkan mutiara ilmu tersebut.


Poligami, sesuatu yang amat ditakuti kaum hawa sehingga ada yang membuat keputusan untuk tidak berkahwin selamanya kerana bimbang akan risiko poligami boleh berlaku dalam hidup mereka. Dalam fikiran dan tanggapan mereka, poligami hanyalah merosakkan kebahagiaan dalam rumah tangga. Poligami juga menyifatkan perempuan sebagai perampas. Hal perkahwinan seperti ini boleh membuatkan seorang perempuan itu mengalami kemurungan yang amat dahsyat dalam sejarah hidup mereka. Tidak  kurang juga halnya kepada kaum lelaki.  Ia juga memberikan satu klasifikasi kepada lelaki bahawa mereka bukan golongan yang setia. Kaum adam juga dikatakan sebagai lelaki yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil jika mereka ingin berpoligami. Dalam Firman Allah s.w.t ada menyebut :



"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." ( Surah An-Nisa ayat 3 )




Mengapa mata manusia memandang negative akan hal poligami ini? Mengapa mereka tidak setuju malah menolak mentah-mentah hal ini tanpa menyelidikinya terlebih dahulu? Mereka menghukum situasi yang berlaku tanpa memahaminya secara tersurat dan tersirat. Mereka tidak mencari tahu akan punca sebenar masalah ini. Poligami ini adalah salah satu cara membela nasib wanita. Tapi mengapa kita merosakkan cara ini dengan melakukan kesilapan yang mempengaruhi pemikiran orang lain?


Memang pada dasarnya manusia menolak konsep perkongsian. Mereka tidak mahu berkongsi baik perempuan mahupun lelaki. Mengapa begitu? Memang fitrah dijadikan Pencipta untuk hamba-Nya. Jika fitrah apakah kita tidak boleh mengarahnya kepada yang lebih baik? Maksud fitrah itu sendiri adalah yang terbaik untuk diri kita sendiri. Jadi, kita perlu berusaha menjadikan fitrah ini terbaik untuk kita.


Fitrah berasal dari kata fathara yang sepadan dengan kata khalaqa dan ansyaa yang ertinya mencipta. Biasanya kata fathara, khalaqa dan ansyaa digunakan dalam Al-Qur’an untuk menunjukkan pengertian mencipta sesuatu yang sebelumnya belum ada dan masih merupakan pola dasar yang perlu penyempurnaan.


Kata fitrah disebut dalam al-Qur’an : 


“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus ; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”.
( Surah Ar Rum : Ayat 30 )





Lelaki, mudah meletakkan poligami itu suatu sunnah. Sunnah itu jika diikut dan diamal, akan mendapat pahala dan keberkatan. Sungguh baik niat itu, kerana berusaha untuk mengikut amalan Nabi SAW. Sungguh mulia. Memang kita tahu, tiada siapa yang mampu menandingi insan maksum itu, kerana Al-Amin ini dicipta sebelum yang lain dicipta dengan adanya cahayanya sebelum dijadikan Nabi Adam a.s.. Tapi adakah kita mampu melakukannya terbaik seperti Baginda? Baginda pernah bersabda bahawa Baginda suka sesuatu yang menyenangkan umatnya. Tapi bila kita memilih untuk mengikut sunnahnya berpoligami, adakah sunnahnya yang lain seperti menjaga nafsu, menundukkan pandangan, melakukan ibadah sunat kita penuhi dan kita amalkan? Kenapa mesti meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya? Kenapa memilih untuk mendahulukan yang bukan utama melebihi fardhu ain? Tepuk dada, tanyalah iman. 


“Jika abang menikah lagi, ceraikan saya.” Kata-kata ini sering meniti di bibir para isteri. Mereka tidak sanggup bermadu. Biarpun madu itu manis, tapi hakikatnya hanya manis pada sang suami, bukan pada hati isteri. Kaum hawa tidak rela berpoligami. Mereka lebih rela memilih perceraian daripada teruskan hidup berkongsi suami. Walaupun Islam membenarkan keadaan ini, pernah tak kita memikirkannya secara teliti? Mengapa kita yang dipilih untuk mempunyai madu? Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan kita akan sesuatu yang tidak kita mampu. Dia Maha Penyayang, tidak akan sanggup melihat hamba-Nya sedih akan hidupnya. Pun begitu, mengapa mudah benar kita menyalahkan suami bila mereka membuat keputusan untuk berkahwin lagi? Mari lihat dan muhasabah kembali diri kita. Adakah kita sentiasa menjadi yang terbaik untuk suami? Adakah kita menjalankan tanggungjawab kita sebaiknya? Persoalan ini bukanlah untuk menyalahkan diri jika diri tidak jadi yang terbaik untuk suami, tetapi supaya kita tidak mudah-mudah meletakkan kesalahan pada orang lain.



Asalnya poligami ini sangat baik, sehingga para sahabat mengamalkannya zaman berzaman. Malah kebaikan poligami telah dibuktikan oleh salah seorang sahabat Nabi SAW yang berkahwin empat mendapat keberkatan daripada perkahwinannya dengan dikurniakan harta dan keluarga yang bahagia. Mengapa kita burukkan imej poligami ini hanya kerana ingin memuaskan hati dan nafsu? Walaupun Al-Quran dan hadis menyarankan untuk mengamalkan monogami, ia tidak mengharamkan poligami. Hanya ia perlu dijaga dengan baik demi kemaslahatan ummah supaya segala masalah sosial dapat diatasi.



Nukilan Pena Daripada :

Hamba Allah
Ijazah Sarjana Muda Sains(Matematik) dengan Pendidikan
Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI MALAYSIA ).


Wallahualam .............



0 comments: